Berbicara tentang tajuk silaj ini, saya sebenarnya bukanlah seorang yang berpengalaman tentangnya. Hanya pengalaman membuatnya semasa berkursus dan mendengar cerita tentang khasiat dan kelebihan penggunaannya daripada jurulatih. Walaubagaimanapun, minat untuk mempraktikkannya diperolehi hasil pembacaan lebih mendalam di Internet.
Tergerak untuk menulis kerana seperti saya pada awalnya, ada penternak (mungkin yang baru seperti saya) yang beranggapan bahawa hasil daripada proses ini adalah bahan yang diperam (jeruk) dan tidak segar. Malah ada yang beranggapan ini adalah makanan “simpanan” semasa tiada rumput segar.
Sebenarnya proses penapaian rufaj ini adalah untuk meningkatkan kadar khasiat dalam makanan daripada kadar biasa yang ditawarkan oleh rumput segar termasuk peningkatan kadar bahan kering, protein dan serat kasar, fosforus dan juga kalsium. Bukan sekadar jeruk untuk menggantikan makanan semasa ketiadaan rumput segar.
Memetik daripada pembacaan artikel oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) tentang silaj ini, seperti saya sebutkan tadi silaj adalah makanan ternakan ruminan yang terdiri daripada bahan rufaj yang berkelembapan tinggi di antara 35 % hingga 75 % kandungan air yang diperolehi melalui proses penapaian dan disimpan dalam keadaan kedap udara (anaerobic).
Silaj sebagai salah satu sumber bekalan makanan ternakan berkualiti untuk ruminan mempunyai kelebihan berbanding dengan rumput segar dan hay kerana silaj dapat dikeluarkan sepanjang masa, proses pengeluarannya tidak bergantung kepada keadaan cuaca dan dapat dihasilkan daripada berbagai jenis bahan rufaj seperti rumput, batang jagung, pelepah kelapa sawit dan bahan-bahan lain. Silo (bekas simpanan silaj) terdiri daripada berbagai bentuk seperti bunker, stack, tower, tong plastik dan lain-lain. Faktor yang penting ialah bekas yang digunakan seharusnya praktikal dari segi pengendalian dan mesti dalam keadaan kedap udara.
Kenapa Silaj?
Seperti manusia dan binatang Monogastrik lain yang memerlukan glukos untuk pembekalan tenaga, Ruminan seperti kambing dan lembu, memerlukan bekalan tenaga yang diperolehi dalam bentuk asid lemak berwap daripada jenis asetik dan propionik. Asid lemak berwap ini digunakan oleh ruminan untuk tumbesaran, penghasilan susu dan lain-lain fungsi metabolik. Kefahaman mengenai asas keperluan ternakan ruminan terhadap unsur asid lemak berwap (volatile fatty acid) inilah yang mendorong pengusaha untuk menjalankan aktiviti pembuatan silaj.
Pada pendapat saya, silaj adalah antara makanan tambahan terbaik untuk ternakan selain sebagai alternatif yang lebih murah kepada palet yang semakin hari semakin mahal. Makanan tambahan bermakna untuk kualiti khasiat yang lebih tinggi bagi diselang-selikan dengan rumput segar setiap hari.
Untuk hasil dan praktikal membuatnya...marilah kita sama-sama tanya orang yang lebih arif dan berpengalaman seperti rakan kita di Projek Kambing FAD...

Plastic covered stack silo...pembuatan silaj diluar negeri, persediaan untuk musim sejuk.
No comments:
Post a Comment